3 November 2014

Pengambilan Kopi Ketika Hamil


Adakah anda seorang peminum kopi yang tegar? Tentu sukar meninggalkannya sebaik diri disahkan hamil. Kopi merupakan minuman yang kaya dengan kafein. Seperti diketahui kafein bersifat diuretik yang mengganggu penyerapan zat besi dalam tubuh yang amat diperlukan oleh ibu hamil.

Bukan bermakna ibu hamil langsung tidak boleh minum air kopi cuma jika sebelum ini anda mengambilnya empat hingga lima cawan sehari, cuba perlahan-lahan kurangkan kuantiti pengambilan. Ini kerana berhenti serta merta pengambilan kopi bagi peminum tegar akan membuatkan tubuh menjadi tidak selesa dan mengganggu keseimbangan diri anda. Jadi, apa kata ambil langkah berikut bagi mengawal pengambilan kopi demi kesihatan diri sendiri dan anak dalam kandungan.

*Kawal pengambilan
Sebenarnya minum kopi sebanyak dua cawan sehari dengan jumlah kafein lebih kurang 200mg adalah selamat untuk ibu hamil. Tetapi semakin sedikit kafein yang terserap dalam badan ketika hamil adalah lebih baik. Apa kata, anda kurangkan kuantiti kopi yang diminum dengan menukar saiz cawan yang digunakan. Jika sebelum ini anda menggunakan cawan yang besar, tukarkan kepada cawan paling kecil. Anda juga boleh lebih mencairkan kopi tersebut. Perlahan-lahan kurangkan kekerapan minum daripada sehari  empat cawan kepada tiga, dua, secawan dan berhenti sepenuhnya. Mungkin juga anda boleh minum kopi seminggu sekali (tetapi hanya secawan kecil sahaja) bagi melepaskan ketagihan terhadap kopi.


*Bertukar kepada teh
Teh juga mengandungi kafein namun jumlah kurang berbanding kopi. Sebaiknya minum teh hijau yang tinggi kandungan vitamin C dan antioksidan. Lebih elok jika anda buat minuman teh menggunakan daun teh sebenar. Caranya didihkan daun teh dalam air mendidih selama 30 saat dan terus tuang ke dalam cawan. Dengan cara ini, kandungan kefein dalam teh tidak terlalu banyak. Elakkan daripada minum teh herba yang boleh memberi kesan bukur kepada kehamilan.

*Sentiasa ingat tujuan
Biarpun sudah menanamkan niat untuk berhenti minum kopi sepanjang hamil tetapi kadang kala keinginan tersebut sukar dikawal apatah lagi jika anda sememangnya peminum kopi tegar. Tetapkan azam dan sentiasa ingat tujuan anda berhenti minum kopi adalah untuk memastikan anak dalam kandungan sihat dan bebas daripada sebarang masalah dan kesan buruk ketagihan kafein.

*Cara pengganti
Mengapa agaknya anda terlalu gemar minum kopi? Adakah kerana aromanya atau rasanya yang pahit manis atau juga kesan yang diperoleh selepas menikmati secawan kopi iaitu menjadi lebih bertenaga? Dengan cara ini anda dapat mencari pengganti bahan lain yang boleh memberikan anda rasa yang sama seperti kopi.  Misalnya anda boleh mencuba minuman lain yang memberikan kemanisan dan aroma yang sama. Sekiranya kopi sebagai sumber tenaga anda, apa kata ubah ia dengan mengambil snek yang kaya karbohidrat kompleks dan protein atau membuat aktiviti ringan seperti berjalan kaki selama 10 minit dan pastikan anda mendapat tidur berkualiti yang cukup.

Selamat melalui pengalaman indah mengandung dengan cara hidup sihat..:)
Komen
0 Komen

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
© Mama Humaira Vitamin Shoppe | Design By MaiGraphikDesign