1 February 2015

Ostreoartritis @ Sakit Sendi Lutut



SAKIT lutut dan orang tua akibat osteoartritis antara dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, terutama jika seseorang individu itu gemuk. Masalah ini juga menyebabkan kebanyakan orang tua keberatan keluar berjalan-jalan atau menghadiri majlis sosial, termasuk kenduri di rumah sanak-saudara.

Osteoartritis adalah bentuk artritis atau sakit sendi paling lazim di dunia yang berpunca daripada kerosakan (kemerosotan) rawan atau kartilaj pada sendi.
Kartilaj ialah tisu perantara yang padat terletak di hujung tulang yang membentuk sendi dan berfungsi sebagai penyerap hentakan pada sendi.

Osteoartritis boleh berlaku pada mana-mana sendi seperti tangan, jari atau leher, tetapi sendi paling kerap mengalami kerosakan ialah sendi yang menampung beban seperti lutut, pinggul dan tulang belakang.

Dianggarkan 10 hingga 20 peratus penduduk sesebuah negara mengalami masalah ini. Jika sebelum ini kebanyakan kes membabitkan orang tua, tetapi kini osteoartritis juga boleh berlaku kepada orang muda seawal usia 40 tahun.

Secara umumnya peluang mendapat osteoartritis meningkat dengan pertambahan umur dan paling banyak dilaporkan di kalangan warga emas (berumur 60 tahun ke atas). Selepas umur 50 tahun, lebih ramai wanita mengalami osteoartritis berbanding lelaki.
Walaupun ia dikaitkan dengan kemerosotan kartilaj akibat kerosakan penggunaan (biasanya mengambil masa lama), punca sebenar penyakit ini tidak diketahui, kata Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia, Dr Abdul Malik Mohamed Hussein.
Bagaimanapun, aktiviti lasak (penggunaan sendi yang keterlaluan) dan obesiti boleh mendedahkan seseorang kepada masalah ini.

Antara tanda pertama osteoartritis ialah sakit pada sendi yang terbabit (biasanya lutut), sendi menjadi tegang, menyebabkan lutut terasa sakit jika terlalu banyak bergerak atau mahu digerakkan selepas lama berehat. Lutut juga sukar dibengkok atau diluruskan, yang akhirnya membuatkan sendi bengkak dan pesakit sukar berjalan.

Osteoartritis adalah masalah kronik membabitkan pelbagai komponen sendi seperti kartilaj, tulang, membran dan cecair sinovium, kapsul artikular, ligamen dan meniskus (bagi kes serius) yang semuanya berkait antara satu sama lain.
“Lutut yang mengalami artritis akan mula membentuk sista, kartilaj menjadi kasar (tidak licin seperti asal) dan rosak.



“Pada masa sama, lutut juga akan kekurangan cecair sinovium yang berfungsi sebagai pelincir sendi dan penyerap hentakan. Sendi lama kelamaan menjadi kering dan akhirnya mengakibatkan tulang bergesel dan menyebabkan kesakitan.

“Kartilaj adalah tisu perantara yang padat dan tidak mempunyai salur darah. Jika berlaku kerosakan, proses pemulihan sangat perlahan. Bagaimanapun, pada sendi lutut yang alami artritis atau keradangan, pemulihan tidak berlaku.

“Jadi pesakit akan sentiasa dalam kesakitan apabila sendi digerakkan keterlaluan atau cuba digerakkan selepas lama dalam keadaan rehat,” katanya.
Sehingga kini belum ada cara untuk menyembuhkan osteoartritis tetapi masalah ini boleh dirawat untuk mengurangkan kesakitan, mengembalikan fungsi sendi dan meningkatkan keupayaan sendi untuk bergerak.

“Osteoartritis yang tidak dirawat akan memberi beban dan menjejaskan kualiti hidup pesakit. Gejala osteoartritis dan kesakitan akan mengehadkan aktiviti fizikal pesakit.
“Kehilangan keupayaan untuk bergerak boleh menyebabkan pesakit sedih dan murung. Ini sebabnya ia perlu dirawat sebelum masalah bertambah buruk,” katanya pada pelancaran suplemen visko atau terapi penggantian cecair Sinovium, Synvisc-One melalui satu suntikan. 

Suplemen visko ini dibuat daripada asid hialuronik yang bertindak menjadi pelincir dan kusyen untuk menyerap hentakan, sekali gus dapat mengurangkan kesakitan pada sendi sehingga enam bulan melalui satu suntikan.

Ini perkembangan baru yang memberangsangkan kerana suplemen visko yang ada sekarang perlu disuntik tiga kali pada lutut pesakit untuk mendapat kesan optimum.

Kesan suntikan ini bagaimanapun berbeza antara pesakit kerana ada yang berlanjutan sehingga lapan atau 12 bulan. Ini bermakna tempoh perlindungan diberi ubat baru ini lebih lama dan pesakit hanya perlu mendapatkan suntikan seterusnya apabila lututnya mula terasa sakit lagi.

Menurut Perunding Pembedahan Ortopedik dan Tulang Belakang, Profesor Madya Datuk Dr K Selvakumar, walaupun ia adalah kaedah rawatan yang mudah, tetapi pesakit disaran berehat dan tidak melakukan aktiviti yang boleh memberi beban pada lutut (termasuk berjalan di kompleks beli-belah) selama 24 hingga 36 jam selepas menerima suntikan.

Suntikan penggantian cecair sinovium ini umumnya selamat berbanding pengambilan ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) atau terapi sistemik (ubat masuk ke dalam aliran darah) dan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat tahan sakit.

Rawatan dan pengurusan osteoartritis dimulakan dengan kaedah pendidikan mengenai penyakit, fisioterapi, pengurangan berat badan dan senaman. Bagaimanapun, kaedah ini kurang berkesan kerana pesakit tidak mengamalkannya dengan serius.

Ini diikuti pengambilan ubat tahan sakit seperti parasetamol (yang berkesan mengurangkan kesakitan). Kelemahan kaedah ini ialah risiko pengambilan dos yang berlebihan kerana ubat boleh dibeli di mana-mana kedai atau farmasi tanpa preskripsi.

Untuk kes lebih teruk, pesakit biasanya akan diberi ubat NSAID tetapi ia mempunyai kesan sampingan seperti pendarahan usus, risiko sakit jantung dan buah pinggang.
Langkah terakhir ialah pembedahan penggantian lutut yang mahal dan tidak sesuai untuk semua pesakit.

Jadi suntikan penggantian cecair Sinovium dianggap kaedah paling berkesan bagi merawat osteoartritis yang teruk. Ia juga didapati boleh melambatkan dan mengelak keperluan pesakit terhadap rawatan lebih serius seperti pembedahan.

Pun begitu, rawatan suntikan penggantian cecair Sinovium bukan untuk semua pesakit. Ia hanya diberi kepada pesakit yang benar-benar teruk keadaannya dan tidak mahu atau tidak sesuai menjalani pembedahan penggantian sendi lutut.



Bahkan suntikan pengganti cecair Sinovium saja tidak akan menghilangkan masalah sendi kerana pesakit masih perlu melakukan teknik penjagaan sendi secara menyeluruh.


“Pengurusan osteoartritis membabitkan banyak peringkat. Pesakit akan diajar mengenai penyakit mereka; cara mengurangkan kesakitan melalui senaman dan fisioterapi, kaedah menjaga dan mengekalkan fungsi sendi bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk pada sendi,” katanya.

Pada masa sama pesakit yang gemuk disaran menurunkan berat badan secara sihat dan kerap bersenam bagi mengurangkan kesakitan lutut kerana apabila kita bersenam, badan menghasilkan cecair Sinovium untuk melindungi dan mengekalkan fungsi sendi.

Berminat dengan produk SET KESIHATAN SENDI SHAKLEE?

Boleh klik di sini Sendi Sihat dengan Shaklee 


::::: Saya Agen Shaklee Pilihan Anda ::::: 
  Email: nida_anida@yahoo.com
 Call/SMS/WhatsApp: 019-9879347
 COD Area: Kuala Terengganu, Gong Badak, Wakaf Tengah, Manir, Losong juga Shah Alam
Komen
0 Komen

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
© Mama Humaira Vitamin Shoppe | Design By MaiGraphikDesign