Anda
sedang hamil? Tentu persoalan di mana hendak bersalin bermain-main di fikiran.
Memilih antara bersalin di hospital swasta atau kerajaan menjadi dilema
pasangan bakal papa dan mama. Mana satu pilihan terbaik? Dapatkan maklumat
berikut sebagai garis panduan.
Sewaktu
melihat hospital dan klinik bersalin, anda tentu berasakan ia sama sahaja.
Tetapi hakikatnya, bukan semua dapat memenuhi keperluan anda. Penting bagi anda
menyenaraikan kriteria yang perlu ada pada hospital dan klinik bersalin yang
sewajarnya menjadi pilihan anda.
Hakikatnya
anda sendiri yang perlu membuat keputusan hospital mana untuk melahirkan bayi
berdasarkan faktor keperluan, kemampuan dan keselesaan anda. Usah mengikut
orang lain kerana setiap orang lain-lain keperluan dan kemampuannya.
Kebanyakan
pakar obstetrik & ginekologi yang berpengalaman luas dalam bidang
perbidanan dan sakit puan di hospital swasta dan kerajaan mempunyai panduan
untuk bakal-bakal ibu dan wanita yang sedang merancang untuk memiliki anak
ketika membuat pemilihan hospital untuk bersalin.
1.
Pastikan anda tahu mengenai latar belakang sejarah kesihatan penyakit kronik
seperti tekanan darah tinggi, epilepsi, asma, jantung, kencing manis atau
komplikasi semasa hamil dan melahirkan (yang lalu) yang memerlukan
penjagaan rapi. Dapatkan pandangan daripada doktor O&G yang memeriksa anda.
2.
Adakah hospital yang dipilih membenarkan pasangan anda masuk ke bilik bersalin
semasa proses kelahiran bayi? Jika anda merancang untuk menyusukan bayi secara
eksklusif, ambil tahu adakah hospital pilihan anda merupakan hospital rakan
bayi (menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif).
3.
Pastikan anda selesa dan serasi dengan doktor pakar O&G di hospital
tersebut kerana dia akan memantau sepanjang kehamilan dan menyambut kelahiran
bayi anda. Oleh itu sebaiknya biarlah pemilihan hospital bersalin dilakukan di
awal kehamilan. Ini membolehkan anda dan doktor membina hubungan yang baik
seterusnya memudahkan anda berkomunikasi jika ada sebarang masalah berkaitan kehamilan
anda.
4.
Pastikan lokasi hospital bersalin yang dipilih paling hampir dengan rumah
kerana tidak tahu bila berlaku kecemasan. Jadi ia mudah untuk datang secepat
mungkin tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.
5.
Pastikan hospital pilihan mempunyai kepakaran dan kemudahan yang lengkap jika
berlaku sebarang kecemasan semasa melahirkan anak. Bagi mereka yang
berisiko tinggi seperti ada masalah kesihatan, berpengalaman bersalin secara
pembedahan caesarean, ada komplikasi semasa hamil, digalakkan bersalin di
hospital kerajaan kerana kemudahan dan kepakaran yang lengkap dan cukup. Ini
kerana bukan semua hospital swasta mempunyai pakar bius yang bersedia sepanjang
masa atau kemudahan unit rawatan rapi neonatal.
Selepas
meneliti serba sedikit maklumat mengenai beberapa hospital berikut, mungkin
anda sudah memiliki panduan untuk memilih hospital bagi melahirkan zuriat.
Tidak kira sama ada pilihan anda adalah hospital kerajaan ataupun swasta
pastikan kriteria penting yang memihak kepada keselamatan diri sendiri dan bayi
menjadi keutamaan.
Memang
tidak dinafikan antara kedua hospital mempunyai kelebihan dan kekurangan
masing-masing yang hanya boleh dipertimbangkan oleh bakal mama sendiri.
Bagaimanapun faktor kewangan juga antara perkara penting yang perlu diambil
kira ketika memilih hospital bersalin.
Jika
berkemampuan dan mahukan layanan lima bintang tidak salah memilih hospital
swasta terkemuka sebagai pilihan bersalin. Namun bukan bermakna mereka yang
memilih hospital kerajaan tidak menerima perkhidmatan berkualiti kerana kita
sedia maklum fasiliti di hospital kerajaan lengkap dan canggih. Bak kata
pepatah, tepuk dada tanya selera.
CREDIT TO
: MAJALAH PA & MA