TUBUH badan
manusia terdiri daripada 75 peratus air manakala selebihnya 25 peratus adalah
bahan pepejal.
Begitu juga dengan otak kita, mengandungi sebanyak 75 peratus air
yang mana penghidratan sederhana boleh menyebabkan sakit kepala dan pening.
Kebanyakan daripada kita tidak menyedari akan peri pentingnya
untuk mengekalkan kelembapan badan terutama sekali jika mengamalkan gaya hidup
aktif.
Keperluan badan terhadap cecair (air) meningkat di dalam
persekitaran panas dan lembap seperti halnya di Malaysia di mana, badan
mengeluarkan peluh dengan lebih banyak sekali gus meningkatkan kadar kehilangan
air.
Ambil sahaja contoh mudah, tumbuh- tumbuhan yang anda tanam di
halaman rumah. Anda menyiram tumbuh-tumbuhan tersebut dan membajanya dengan
baik sekali.
Apa yang akan terjadi sekiranya anda tidak menyiraminya selama
seminggu? Ia akan menjadi layu, bukan?
Itulah juga yang akan terjadi kepada tubuh badan kita jika tidak
dihidrasi (diberikan air atau tidak mendapat kelembapan) sebagaimana yang
sepatutnya.
Kadang-kala, dalam iklim yang lebih sejuk mahu pun persekitaran
berhawa dingin, semakin banyak tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan suhu
badan, semakin bertambahlah cecair yang diperlukan.
Justeru, adalah sangat penting bagi kita untuk minum, tidak
kiralah sama ada ia air masak, jus, minuman isotonik, susu mahu pun memakan
buah-buahan serta sayur- sayuran yang secukupnya.
PERANAN AIR DALAM BADAN :
Air membantu hampir kebanyakan anggota badan manusia untuk
berfungsi secara berkesan. Kita perlu memahami peranannya di dalam badan.
* Otak kita adalah 75 peratus air manakala darah, tulang dan
otot-otot masing- masing mewakili sebanyak 92, 22 dan 75 peratus air
* Air penting untuk pernafasan dan mengawal atur suhu badan
* Air juga penting bagi melindungi dan melapik organ-organ utama termasuklah sendi
tulang
* Di samping itu, air membawa nutrien (zat makanan) dan oksigen ke
semua sel dalam badan serta membantu tubuh menyerap nutrien
* Air menukar makanan kepada tenaga dan menyingkirkan bahan-bahan
sisa yang tidak dikehendaki.
TANDA-TANDA PENYAHHIDRATAN :
Kesan penyahhidaratan boleh muncul dalam pelbagai bentuk dari
dahaga dan lemah kepada kegagalan fungsi buah pinggang.
Dalam kes-kes yang lebih ekstrem, penyahhidratan boleh membawa
kepada koma dan akhirnya mengundang maut.
1. Penyahhidratan yang tidak begitu kuat
* Rasa dahaga
* Sakit kepala kesan daripada tekanan atau stres mental dan/atau
fizikal yang boleh berpunca daripada tidak mendapat bekalan air mencukupi
* Mengalami keadaan letih lesu. Ini terjadi kerana jantung
terpaksa bekerja keras untuk membekalkan kulit dengan oksigen dan nutrien
disebabkan oleh ketidakseimbangan cecair
* Mulut dan tekak terasa kering
2. Penyahhidratan sederhana
* Rasa keliru, terjadi disebabkan oleh kekurangan cecair di dalam
sistem otak yang boleh mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan.
Ini kerana, otak mengalami penghidratan yang sangat lemah yang
mendorong kepada ingatan jangka pendek yang teruk disertai sakit kepala serius
* Degupan jantung menjadi kencang, pening kepala, mengakibatkan
tekanan darah rendah yang berpunca daripada penurunan darah
* Rasa lemah dan tidak bertenaga disebabkan oleh perubahan dalam
keseimbangan cecair di mana jumlah darah boleh menurun sekali gus menjejaskan
prestasi dan rutin seharian kita
* Air kencing menjadi sangat pekat tetapi jumlah pengeluarannya
merosot
3. Penyahhidratan teruk
* Pengecutan otot-otot berlaku disebabkan oleh timbunan jumlah
toksin atau bahan racun dan bakteria yang terperangkap di dalam kelenjar limfa.
Akibatnya, buah pinggang tidak berupaya mengusir keluar toksin-toksin itu
* Lidah bengkak
* Peredaran darah yang lemah disebabkan oleh kuantiti darah yang
semakin berkurangan
* Rasa lemah, tidak bermaya tambah ketara
* Buah pinggang tidak dapat berfungsi kerana tidak mendapat cecair
yang mencukupi untuk menyingkirkan toksin.
Untuk hidrasi sewajarnya, adalah disarankan agar anda minum
pelbagai jenis cecair termasuk air, susu, minuman isotonik, jus buah-buahan,
sup, minuman dengan rasa buah-buahan atau mengambil buah-buahan serta
sayur-sayuran segar dalam jumlah cecair dibenarkan, mengikut saranan.
Minuman isotonik memang mempunyai peranannya yang tersendiri di
dalam hidrasi terutamanya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Minuman isotonik yang mengandungi karbohidrat membantu
menggantikan semula tenaga yang hilang manakala natrium bukan hanya menambahkan
keenakan rasa cecair tetapi juga meningkatkan sensasi dahaga.
Ia turut membantu memperbetulkan kehilangan garam akibat perpeluhan
berpanjangan.
Sementara itu, kalium, klorida dan magnesium tidak sekadar
menggantikan semula elektrolit-elektrolit yang telah hilang di dalam peluh
tetapi turut membantu pembendungan cecair serta menggalakkan penghidratan
semula.