Ekzema
merupakan penyakit kulit yang kerap dialami di seluruh dunia dengan 10 hingga
20 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus merupakan
golongan dewasa. Ekzema atopik atau dermatitis atopic sejenis penyakit radang
kulit yang mencetuskan ruam gatal hingga menyebabkan rasa sakit dan resah.
Penyakit
kulit ini merupakan jenis ekzema yang paling banyak berlaku tetapi puncanya
masih samar. Faktor genetik dan persekitaran dikatakan memainkan peranan dalam
berlakunya masalah kulit.
Ia
boleh menjangkiti sesiapa saja, namun lebih kerap berlaku pada kanak-kanak.
Penjagaan
kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya satu proses berterusan
sehingga mereka dewasa.
Bukan
setakat rasa gatal, merah dan ruam, penyakit ini juga boleh memberi tekanan
emosional dan kesan kewangan bukan sahaja ke atas pesakit tetapi juga ahli
keluarga, khususnya penjaga.
"Ekzema
atopik satu bentuk alergi atau alahan, di mana ia berpunca daripada sistem
kekebalan tubuh (imun) yang tidak normal sehingga membawa kepada kepada
kerosakan kulit. Ia
adalah suatu keadaan di mana kulit pesakit khususnya kanak-kanak menjadi gatal
dan kering.
Apabila
kanak-kanak terasa kulitnya gatal, mereka akan menggaru dan ini merosakkan
kulit dan mencetuskan kegatalan semula. Ini menyebabkan kelembapan kulit hilang
menyebabkan berlakunya ekzema atopik," ujar Pakar Runding Pediatrik dan
Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Leong Kin Fon.
Bayi
yang berhadapan dengan ekzema atopik akan mengalami keresahan dan sukar untuk
tidur.
Akibatnya,
penjaga turut mengalami masalah yang sama sehingga menyebabkan tekanan
meningkat.
Daripada
kes yang berlaku, kulit pesakit atopik ekzema bukan sahaja menjadi
kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal terutama di bahagian
tangan dan kulit yang berlipat misalnya pada bahagian siku serta lutut.
"Kulit
mungkin menjadi keras dan melecet atau bernanah akibat jangkitan bakteria. Jika
seorang ahli keluarga mempunyai ekzema, asma atau alahan rinitis (alahan pada
debunga), anak mereka ada peluang besar untuk turut mengalaminya.
Sesetengah
kanak-kanak yang ada ekzema turut mendapat asma atau alahan rinitis. faktor
persekitaran seperti cuaca dan pencemaran juga dikatakan menjadi faktor utama
penyakit ini," katanya ketika kempen kesedaran ekzema atopik anjuran Leo
Pharma di Bangsar, Kuala Lumpur.
Rawatan
Dalam pada itu Pakar Dermatologi, Pensyarah Kanan Hospital Hammersmith dan
Pakar Kehormat Dermatologi di Kolej Imperial dan Diraja Lepasan Ijazah Sekolah
Perubatan, London, Dr. Anthony Chu berharap pesakit berbincang dengan individu
yang pakar terutama dalam pengurusan bagi meminimumkan serangan ekzema.
Menggambarkan
bayi yang menghidap penyakit ini akan resah dan tidak boleh duduk diam, Dr.
Anthony berpendapat ia sesuatu yang serius kerana kesan gatal atau ruam yang
digaru itu boleh luka dan berdarah.
Menurut
beliau, terdapat dua pilihan rawatan iaitu menggunakan streoid atau kombinasi
streoid antibiotik dan krim.
Selain
menggunakan pelembap, steroid untuk keradangan dan anti ubat gatal, pesakit
boleh mengawal keadaan itu sendiri. Ini termasuk mengurangkan penggunaan cecair
pencuci, penghilang bau, kosmetik, debunga dan makanan tertentu.
Dalam
pada itu, pesakit-pesakit ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau
mandian berbuih pada kulit mereka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan
kulit.
Sebaliknya,
mereka disarankan menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja
berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap terutama kulit yang alergi.
Berikut
beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak
bermasalah ekzema:
* Bawa
anak berjumpa doktor
*
Pastikan mereka mandi dengan sabun khas yang berkelembapan tinggi tanpa bahan
kimia yang mengeringkan kulit.
* Sapu
pelembap di seluruh badan selepas mandi.
*
Pakai pakaian yang nipis dan diperbuat daripada fabrik kapas.
*
Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas dari habuk dan kotoran.
* Jika
anak berpeluh ambil kain basah dan lap di tempat yang berpeluh.
Credit to : Utusan Malaysia