Adakah anda seorang peminum kopi yang tegar? Tentu
sukar meninggalkannya sebaik diri disahkan hamil. Kopi merupakan minuman yang
kaya dengan kafein. Seperti diketahui kafein bersifat diuretik yang mengganggu
penyerapan zat besi dalam tubuh yang amat diperlukan oleh ibu hamil.
Bukan bermakna ibu hamil langsung tidak boleh minum
air kopi cuma jika sebelum ini anda mengambilnya empat hingga lima cawan
sehari, cuba perlahan-lahan kurangkan kuantiti pengambilan. Ini kerana berhenti
serta merta pengambilan kopi bagi peminum tegar akan membuatkan tubuh menjadi
tidak selesa dan mengganggu keseimbangan diri anda. Jadi, apa kata ambil
langkah berikut bagi mengawal pengambilan kopi demi kesihatan diri sendiri dan
anak dalam kandungan.
*Kawal pengambilan
Sebenarnya minum kopi sebanyak dua cawan sehari
dengan jumlah kafein lebih kurang 200mg adalah selamat untuk ibu hamil. Tetapi
semakin sedikit kafein yang terserap dalam badan ketika hamil adalah lebih
baik. Apa kata, anda kurangkan kuantiti kopi yang diminum dengan menukar saiz
cawan yang digunakan. Jika sebelum ini anda menggunakan cawan yang besar,
tukarkan kepada cawan paling kecil. Anda juga boleh lebih mencairkan kopi
tersebut. Perlahan-lahan kurangkan kekerapan minum daripada sehari empat
cawan kepada tiga, dua, secawan dan berhenti sepenuhnya. Mungkin juga anda
boleh minum kopi seminggu sekali (tetapi hanya secawan kecil sahaja) bagi
melepaskan ketagihan terhadap kopi.
*Bertukar kepada teh
Teh juga mengandungi kafein namun jumlah kurang
berbanding kopi. Sebaiknya minum teh hijau yang tinggi kandungan vitamin C dan
antioksidan. Lebih elok jika anda buat minuman teh menggunakan daun teh
sebenar. Caranya didihkan daun teh dalam air mendidih selama 30 saat dan terus
tuang ke dalam cawan. Dengan cara ini, kandungan kefein dalam teh tidak terlalu
banyak. Elakkan daripada minum teh herba yang boleh memberi kesan bukur kepada
kehamilan.
*Sentiasa ingat tujuan
Biarpun sudah menanamkan niat untuk berhenti minum
kopi sepanjang hamil tetapi kadang kala keinginan tersebut sukar dikawal apatah
lagi jika anda sememangnya peminum kopi tegar. Tetapkan azam dan sentiasa ingat
tujuan anda berhenti minum kopi adalah untuk memastikan anak dalam kandungan
sihat dan bebas daripada sebarang masalah dan kesan buruk ketagihan kafein.
*Cara pengganti
Mengapa agaknya anda terlalu gemar minum kopi?
Adakah kerana aromanya atau rasanya yang pahit manis atau juga kesan yang
diperoleh selepas menikmati secawan kopi iaitu menjadi lebih bertenaga? Dengan
cara ini anda dapat mencari pengganti bahan lain yang boleh memberikan anda
rasa yang sama seperti kopi. Misalnya anda boleh mencuba minuman lain
yang memberikan kemanisan dan aroma yang sama. Sekiranya kopi sebagai sumber
tenaga anda, apa kata ubah ia dengan mengambil snek yang kaya karbohidrat
kompleks dan protein atau membuat aktiviti ringan seperti berjalan kaki selama
10 minit dan pastikan anda mendapat tidur berkualiti yang cukup.
Selamat melalui pengalaman indah mengandung dengan cara hidup sihat..:)